Saturday, April 23, 2011

Kenapa Pilih Untuk Binasa?

Syariat Islam sebenarnya mengajar kita menjadi insan yang patuh dan mencintai kebaikan. Oleh itu, sesiapa yang hendak melanggarnya, bermaksud dia sengaja mahu memusnahkan diri sendiri. Sedangkan ALLAH SWT melarang manusia menjerumuskan diri dalam kehancuran seperti dala, firmanNYA;

"Dan janganlah kamu sengaja ...mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." - Surah Al-Baqarah: 195

Manusia yang berani melakukan maksiat juga sengaja mahu menafikan fitrah kejadiannya yang dicipta sebagai sesempurna kejadian. Manusia dijadikan sempurna tetapi dia sendirilah yang membuatkan dirinya menjadi hina akibat kederhakaan kepada ALLAH.

Firman ALLAH lagi; "Sesungguhnya KAMI telah menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. Kemudian KAMI kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya." - Surah At-Tin: 4-5

Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan di atas setiap perbuatan yang dilakukan. Di dalam Al-Quran ada menyebut tentang amalan kebaikan, sekecil zarah pun akan dibalas, begitu juga dengan amalan kejahatan, sekecil zarah pun tidak akan terlepas daripada perhitunganNYA.

Ramai yang sering memberikan alasan "belum bersedia" untuk berubah. Jika alasan itu sering diberi selama-lamanya lah dia tidak akan bersedia jika langkah pertama tidak diambil. Ingat kembali sirah Rasulullah? Jika Rasulullah tidak mengambil langkah pertama iaitu untuk berdakwah dengan cara bersembunyi tentu Islam belum sampai pada kita hari ini. Bermula dengan dakwah secara bersembunyi, baginda berdakwah secara terang dan terbuka. Akibatnya Baginda sekeluarga dipulaukan. Pelbagai dugaan getir yang dihadapi sehinggalah Islam bersinar megah seperti megahnya Negara Islam pertama, Madinah Al Munawwarah dibangunkan. Begitulah caranya kita menegakkan Islam dalam diri kita.

Adakah berat benar untuk melakukan suruhan ALLAH dan meninggalkan segala laranganNYA walaupun dia telah meyakinkan kita melalui firmanNYA,

"ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - Surah Al-Baqarah: 286

ALLAH SWT mengetahui kemampuan manusia yang diciptaNYA. Oleh itu suruhan dan laranganNYA tentulah bersifat 'mampu dibuat sahaja'.

Contohnya mengerjakan solat adalah wajib. Tetapi untuk melaksanakannya ALLAH memberi rukhsah (keringanan) jika berhadapan dengan masyaqqah (kesukaran).

Puasa pada bulan Ramadan itu wajib. Namun haram kepada wanita yang didatangi haid, nifas dan wiladah dengan syarat wajib menggantikannya semula.

Mengeluarkan zakat itu wajib jika haul dan nisabnya cukup. Ada pula perkiraan yang mesti dibuat untuk melayakkan seseorang mengeluarkan zakat. Islam tidak zalim untuk menyuruh orang miskin mengeluarkan zakat. Sebenarnya zakat untuk membantu orang miskin.

Menunaikan haji juga wajib tetapi syaratnya apabila seseorang mampu menunaikannya dari segi kewangan dan kesihatan diri. Hanya yang diwajibkan pula hanya sekali seumur hidup. Orang yang banyak bebanan hutang tidak digalakkan menunaikan haji.

ALLAH mengetahui keupayaan kita. Oleh kerana itulah agama memberi keringanan dalam keadaan-keadaan tertentu. Setakat ini sudahkah kita dapat mengesan betapa mudah dan mesranya Islam dihati kita?

Walau bagaimanapun, ada-ada saja helah manusia yang keras kepala dan degil ini. Mengapa agaknya?

Rebutlah peluang bukan alasan. Jawapannya tergantung pada diri sendiri iaitu pada akal dan nafsu. Akal membezakan manusia dengan haiwan. Nafsu pula menyuruh manusia melakukan kejahatan. Ditengah-tengahnya ada ilmu yang boleh membezakan tindakan baik atau jahat. Pilihlah yang mana satu.

No comments:

Post a Comment